Semenanjung Malaysia Kebangkitan_Semula_Pengganas_Komunis_(1968-1989)

Tentera Darat Malaysia membuat beberapa operasi “cari dan musnah” di kawasan sempadan Malaysia - Thailand dan juga di Sarawak. Operasi “cari dan musnah” yang dilancarkan secara besar-besaran.Operasi-operasi besar dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan diperintah kawal dan diselaraskan oleh Markas Divisyen Kedua Infantri (2 Divisyen). Divisyen ini bertanggungjawab ke atas keselamatan di negeri-negeri Pahang, Perak, Kelantan, Selangor dan Kedah. Operasi besar-besaran di dalam siri GONZALES dilancarkan untuk menjejak, mengesan dan seterusnya menghapuskan unit-unit penggempur Parti Komunis Malaya yang hendak bertapak semula di Semenanjung Malaysia. Operasi-operasi GONZALES ini telah berjaya menghapuskan sebilangan anggota pengganas komunis di negeri Pahang dan Perak.

Tetapi unit-unit penggempur Parti Komunis Malaya menggunakan taktik serang dan lari ke atas unit-unit pasukan keselamatan. Selepas membuat serangan, mereka menyusup semula masuk ke kawasan hutan di dalam sempadan Thailand, di mana mereka tahu pasukan keselamatan Malaysia tidak mempunyai kuasa mengejar (hot pursuit). Taktik ini membantutkan kejayaan operasi siri Gonzales.

Untuk menangani kekangan ini, Kerajaan Malaysia merundingkan dengan Kerajaan Thailand untuk membolehkan pasukan keselamatan Malaysia mengejar unit-unit penggempur Parti Komunis Malaya walaupun mereka kembali memasuki wilayah Thailand. Hasil perundingan diadakan, Kerajaan Thailand akhirnya bersetuju membenarkan pasukan Tentera Darat Malaysia untuk membuat kejaran “hot pursuit” pengganas komunis masuk ke dalam wilayah Thailand sehingga satu kawasan tidak melebihi bandar Sadao, Thailand.

Operasi Daoyai Musnah

Dalam tahun 1976 Operasi Daoyai Musnah dilancarkan oleh Tentera Darat Malaysia untuk menghapuskan ancaman pengganas komunis di kawasan operasi 2 Divisyen Infantri. Operasi Daoyai Musnah berbeza kerana pasukan Tentera Malaysia membuat operasi cari dan musnah di dalam kawasan operasi di wilayah Malaysia sehinggalah ke kawasan operasi di wilayah Thailand. Satu markas hadapan ditubuhkan di Sadao untuk tujuan perintah dan kawalan operasi.

Pasukan Tentera Darat Malaysia ditempatkan di wilayah Thailand untuk bertindak sebagai pasukan menghalang (blocking force). Kumpulan pengganas komunis mendapat kejutan kerana pasukan Tentera Malaysia tidak menghentikan operasi apabila kumpulan pengganas masuk ke wilayah Thailand. Sebaliknya, mereka terus diburu. Kumpulan pengganas terus berundur sehingga bertembung dengan kumpulan Tentera Malaysia yang menjadi pasukan menghalang.

Walaupun pasukan Royal Thai Army bekerjasama dengan pasukan Tentera Malaysia, mereka agak keberatan untuk berdepan dengan kumpulan pengganas. Akhirnya operasi cari dan musnah dijalankan kebanyakannya oleh Tentera Malaysia.